Antara telefon bimbit dan dadah yang dirampas.
Antara telefon bimbit dan dadah yang dirampas.
LUNAS - Curiga dengan remaja yang membawa motosikal terhuyung-hayang, pasukan trafik menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, ketika kejadian di Jalan Batu 6, Padang Serai ke Lunas kira-kira jam 11.30 pagi, suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian anggota trafik yang berada di belakang suspek ternampak motosikal ditunggang dalam keadaan membahayakan.

"Trafik kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan motosikal. Dari pemeriksaan dijalankan mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu selain cukai jalan motosikal tamat tempoh.

“Pemeriksaan fizikal terhadap suspek menemui satu paket plastik lut sinar dan tiga tiub keratan straw pendek berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin di belakang poker seluar remaja ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan terhadap motosikal suspek, pihaknya menemui batang besi berbentuk T yang telah diubahsuai dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

Abdullah berkata, suspek kemudiannya di bawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian itu, suspek positif dadah jenis opiat dan anggaran berat dadah dirampas adalah sebanyak 7.33 gram.

"Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 39a(2) Akta Dadah Merbahaya 1952” katanya.