Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (tengah) melihat pelbagai jenis komputer yang dijadikan mesin judi haram yang telah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (tengah) melihat pelbagai jenis komputer yang dijadikan mesin judi haram yang telah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Polis Kedah merampas sebanyak 6,590 pelbagai mesin perjudian dan menahan 1,562 suspek dalam 2,487 serbuan di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lepas.
  
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata daripada tangkapan itu pihaknya turut merampas wang tunai hasil perjudian haram bernilai RM80,380.
  
Katanya, dalam tempoh sama tahun lepas, sebanyak 10,926 pelbagai mesin perjudian serta wang perjudian bernilai RM77,026 dirampas selain 2,118 suspek ditahan dalam 3,179 serbuan, di lokasi berbeza.
  
Beliau berkata, bagi tempoh 26 hingga 31 Oktober lepas pihaknya merampas 78 mesin judi dan hasil perjudian sebanyak RM630 selepas melakukan serbuan di 251 tempat di seluruh negeri ini serta menahan 41 suspek.
  
"Perbezaan kedua-dua tahun bagi tempoh 10 bulan sudah jelas menunjukkan kejayaan Polis Kedah mengurangkan kegiatan perjudian di negeri ini. Kedah akan bersih daripada kegiatan perjudian haram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Zakaria berkata, tangkapan dan serbuan berkurangan sejak kebelakangan ini selepas arahan membanteras kegiatan perjudian dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menyebabkan pengusaha pusat perjudian haram telah menutup operasi mereka selepas kerap diserbu.
  
"Pengusaha pusat judi yang tegar pun sudah kecundang selepas kerap diserbu Polis. Kita yakin mampu untuk bersihkan negeri ini daripada kegiatan perjudian," katanya.
  
Katanya bagi kegiatan loteri haram tanpa lesen bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober tahun ini pihaknya menahan 943 suspek dalam 1,250 serbuan dan turut merampas wang tunai RM108,493.
  
Beliau berkata, dalam tempoh sama tahun lepas pihaknya menahan 809 suspek dalam 1,021 serbuan dan merampas wang tunai sebanyak RM75,245.
  
Katanya polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai Polis dan Ketua Polis Daerah yang berkomplot dengan pengusaha pusat perjudian dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di negeri ini.
  
"Kalau orang awam ada maklumat berkaitan perjudian haram mereka boleh laporkan untuk kita ambil tindakan segera. Ini kerana mereka licik dengan lakukan operasi secara bersembunyi seperti dalam hotel, rumah ibadah dan rumah kampung," katanya. - Bernama