Laman web Fox News melaporkan, aluminium berkenaan yang ditemui pada 1991 di Nikumaroro, sebuah kawasan terumbu karang yang tidak berpenghuni di Republik Kiribati merupakan serpihan kapal terbang dua enjin Lockheed Electra milik Earhart.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Sejarah Pemulihan Kapal Terbang Antarabangsa (TIGHAR) yang melakukan kajian tentang penerbangan Earhart sejak 77 tahun lalu itu, Ric Gillespie berkata, serpihan aluminium berkenaan telah dicantum dengan kepingan logam ketika kapal terbang terbabit mendarat di Miami, yang juga merupakan perhentian keempat sebelum penjelajahan mengelilingi dunia diteruskan.
Kata Gillespie, berdasarkan gambar yang diambil oleh Miami Herald pada 1 Jun 1937, dapat dilihat kepingan aluminium yang sudah dicantum dengan logam itu ditampalkan di pintu kapal terbang.
Ujarnya, bagi mendapatkan kepastian, TIGHAR turut menjalankan ujian di Pusat Perkhidmatan Udara Wichita di Newton, bagi membandingkan kepingan aluminium berkenaan dengan komponen asal kapal terbang Lockheed Electra.
“Kepingan yang ditemui di Nikumaroro mempunyai corak dan ciri-ciri sepadan dengan struktur kapal terbang Lockheed Electra. Ini merupakan kali pertama penemuan berkenaan dikaitkan dengan Amelia Earhart,” ujar Gillespie.
Penemuan terbaharu ini membuktikan kapal terbang milik Earhart dan pembantunya Fred Noonan tidak terhempas di Lautan Pasifik, sebaliknya mereka mungkin kehabisan minyak dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Nikumaroro berhampiran Pulau Howland.