Search This Blog

Monday, November 3, 2014

Perasuah simpan wang AS$33 juta


BEIJING – Pasukan siasatan antirasuah China mengesahkan rampasan wang tunai berjumlah AS$33 juta (RM109 juta) dari kediaman seorang pegawai tinggi pada Mei lalu yang merupakan kes tangkapan terbesar di negara itu.
Seorang pendakwa raya memberitahu, empat daripada 16 mesin mengira wang rosak ketika mereka mengira wang tunai yang dirampas dari rumah seorang pegawai tenaga, Wei Pengyuan yang disiasat atas tuduhan rasuah.
Rampasan tersebut kali pertama dilaporkan oleh media di China pada Mei lalu tetapi baru disahkan oleh seorang pegawai pendakwa raya antirasuah, Xu Jinhui.
Pengyuan yang merupakan timbalan pengarah bahagian perlombongan arang batu di Pentadbiran Tenaga Kebangsaan disiasat atas tuduhan rasuah pada Mei lalu susulan penemuan wang tunai yang disembunyikan tersebut.
Sehingga September tahun ini sahaja, kerajaan China telah menghukum lebih 13,000 pegawai yang didapati bersalah menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa.
Perang memerangi rasuah itu adalah janji Presiden China, Xi Jinping yang dilantik memerintah negara tersebut pada tahun 2012.
Beliau sebelum ini berjanji kempen itu menyasarkan ‘harimau’ dan ‘lalat’ yang bermaksud tiada siapa yang boleh terlepas termasuk pegawai tertinggi negara berkenaan.
Sejak kempen itu dilancarkan beberapa tokoh politik terkemuka termasuk timbalan pengerusi parlimen dan bekas menteri pertahanan turut disiasat.
Beberapa penganalisis sebelum ini berpendapat kadar bunuh diri dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan yang semakin meningkat kemungkinan berpunca daripada tekanan daripada kempen berkenaan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Hx3Tpf3T 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment