Penunjuk perasaan yang memakai topeng Guy Fawkes turut menyertai perhimpunan di Mong Kok.
Penunjuk perasaan yang memakai topeng Guy Fawkes turut menyertai perhimpunan di Mong Kok.
HONG KONG - Pertempuran terbaharu meletus antara penunjuk perasaan prodemokrasi dan polis di daerah Mong Kok, awal pagi semalam.

Menurut laporan Reuters, berpuluh anggota polis bersenjatakan belantan dan perisai mengepung kawasan berkenaan selepas beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di situ.

Dalam kejadian itu, tiga penunjuk perasaan ditahan manakala stesen TV tempatan melaporkan polis menggunakan semburan pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan.

Kelmarin, kira-kira 20 aktivis prodemokrasi yang kebanyakannya pelajar  mengadakan protes menuntut Parti Komunis China supaya menunaikan janji untuk memberi sepenuh demokrasi kepada Hong Kong, yang kembali kepada pemerintahan China pada 1997.

Ogos lalu, laporan dipetik dari AFP, Beijing menawarkan kepada warga Hong Kong peluang untuk memilih pemimpin mereka pada 2017, tetapi menyatakan hanya dua atau tiga calon boleh bertanding selepas direstui jawatankuasa pencalonan.