Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

Peniaga rugi RM800,000 dalam kebakaran

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan
Seremban: Seorang peniaga alatan pertanian dan pertukangan berputih mata apabila kedainya di Pekan Rantau, dekat sini, terbakar awal pagi tadi mengakibatkan dia kerugian kira-kira RM800,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, kebakaran berlaku di tingkat atas premis yang dijadikan stor sekali gus memusnahkan semua barangan seperti baja, racun serangga, cat, paip dan pelbagai peralatan pertukangan.
Pemilik kedai Lay Song Sin, 65, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Taman Rantau dan terkejut apabila dihubungi rakan memaklumkan kedainya terbakar.
Dia bergegas datang dan sebaik tiba didapati api sedang marak di tingkat atas bangunan kedai dua tingkat itu dan anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.
Menurut Lay itu kebakaran yang pertama dialaminya sejak berniaga 14 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera terbabit operasi memadam kebakaran itu.
Katanya, pihaknya turut dibantu lima anggota bomba sukarela Rantau serta dua anggota dan sebuah jentera dari BBP Seremban.
"Kita menerima panggilan mengenai kebakaran jam 5.58 pagi dan tiba dilokasi 15 minit kemudian.
"Kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat jenis kekal dan terbakar 70 peratus di bahagian atas.
"Setakat ini kerugian dianggarkan sebanyak RM800,000 akibat kemusnahan pelbagai peralatan seperti cat, peralatan pertukangan dan pembinaan serta racun serangga," katanya memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 12:33 PM


ANGGOTA Bomba memadam kebakaran di Pekan Rantau. FOTO Khairul Najib
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9888#sthash.vMXPKI6z.dpuf

No comments:

Post a Comment