Khalid Abu Bakar Ketua Polis Negara
Ketika ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, lelaki warga India berusia 36 tahun itu didapati menggunakan pasport palsu dari negara Nepal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, selepas insiden pembunuhan Ketua Menteri Punjab dan Rulda Singh, Presiden Rashtariya Sikh Sangat pada Julai 2009, suspek serta pemimpin utama kumpulan pengganas berkenaan iaitu Jagtar Singh Tara telah melarikan diri dan bersembunyi di beberapa negara.
“Selain pembunuhan tersebut, kumpulan ini turut disyaki terlibat dengan beberapa serangan bom di Punjab pada 2010 dan mereka telah dikenal pasti menyembunyikan diri termasuk di Nepal dan Thailand sebelum memasuki Malaysia.
“Polis antarabangsa kini giat memburu Jagtar Singh Tara yang dipercayai masih bersembunyi di salah sebuah negara di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khalid, kejayaan pasukannya memberkas ahli kumpulan pengganas berkenaan adalah hasil kerjasama rapat pihaknya dengan pihak berkuasa India.
“Suspek telah ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah dan semalam suspek telah pun diusir balik ke negara asalnya.
“Dengan adanya tangkapan terbaharu tersebut, kita merekodkan keseluruhan anggota pengganas Sikh yang ditangkap Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman sejak 2009 adalah seramai enam orang,” ujarnya.