Gambar semasa kejadian yang dikongsi oleh orang ramai di laman sosial Facebook.
Gambar semasa kejadian yang dikongsi oleh orang ramai di laman sosial Facebook.
PASIR MAS - Pencawang masuk utama milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Lemal di sini terbakar kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Kebakaran tersebut menyebabkan beberapa kawasan di sekitar jajahan ini mengalami gangguan di antara 10 minit hingga dua jam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adenan Mohd Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 pagi.

Menurutnya, seramai 15 anggota dari tiga buah balai iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kota Bharu bersama empat buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

“Ketika sampai di tempat kejadian  api sedang marak dan pihak kami mengambil masa 46 minit untuk mengawalnya dari merebak.

“Kami terpaksa menggunakan buih untuk memadamkan kebakaran tersebut dari terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.

Adenan berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah pencawang dan punca serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kelantan, Ir Md Yuslan Md Yusof ketika dihubungi berkata, kebakaran tersebut melibatkan pencawang masuk utama.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca utama kebakaran tersebut.

“Bagaimanapun kita berjaya memulihkan semula gangguan tersebut di antara 10 minit hingga dua jam selepas berlakunya kejadian itu,” katanya.