Pemuja syaitan bunuh dua lelaki
SERAMAI tiga individu ditahan selepas dua rangka ditemui di halaman rumah pemuja syaitan di North Carolina, Amerika Syarikat.

Pazuzu Illah Algarad, 35, dan 'isterinya', Amber Nicole Burch, 24, didakwa atas kesalahan membunuh Joshua Fredrick Wetzler dan Tommy Dean Welch masing-masing berumur lingkungan 30-an manakala Krystal Nicole Matlock, 28, pula dituduh bersubahat dengan pasangan terbabit.

Seorang rakannya memberitahu Algarad pernah memberitahu mereka mengenai mayat tersebut dan dia turut memakan beberapa bahagian anggota tubuh mangsa sebelum membakarnya, namun tiada siapa mempercayainya kerana beranggapan ia mungkin hanya satu gurauan.

Hasil serbuan ke atas rumahnya, pihak berkuasa juga menemui lautan sampah, beberapa tulang haiwan, simbol syaitan dan lambang pentagram pada dinding kediaman tersebut dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan.

"Kedua-dua mayat itu dipercayai ditanam pada 2009," kata jurucakap polis.

Pada 2010, Algarad pernah didakwa bersubahat dalam kes tembak mati Joseph Chandler, 30, namun dia dibebaskan dan diletakkan di bawah tempoh percubaan.

Menurut jurnal Winston-Salem, nama sebenar Algarad adalah John Lawson dan dia berasal dari San Francisco, California.

Menurut laporan Daily Mail, perbicaraan ke atasnya akan disambung semula pada Mac depan.