Search This Blog

Monday, November 3, 2014

Pelbagai kosmetik, ubatan dirampas


2 November 2014
TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas pelbagai barangan kosmetik dan ubat-ubatan yang bernilai RM10,128 di perairan Sungai Tongkang, di sini semalam.
   
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, kesemua barangan tersebut dirampas ketika pasukan peronda memeriksa sebuah feri penumpang di perairan berkenaan kira-kira 11 pagi.
   
"Antara barang yang dirampas ialah pelbagai minyak angin terapi sebanyak 456 botol, ubat Tongkat Ajimat Madura 240 kotak, tisu basah antiseptik 100 kotak, jamu langsing 36 botol dan minyak urut, 48 kotak," katanya dalam kenyataan di sini.
   
Mohamad berkata, bagaimanapun tiada penumpang yang mengaku sebagai pemilik barangan rampasan yang tidak mempunyai label tanda daftar kelulusan Kementerian Kesihatan itu.
   
Siasatan awal mendapati feri penumpang berkenaan dalam perjalan dari Nunukan, Indonesia menuju ke daerah ini, katanya.

"Kesemua barangan tersebut merupakan barangan larangan yang disyaki cuba dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di daerah ini," tambah Mohamad.
   
Sementara itu, beliau berkata pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung sebarang aktiviti penyeludupan yang tidak bercukai atau barang kawalan mahupun barangan tiruan yang cuba diseludup ke negara ini.
   
Justeru katanya, kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan. - Bernama

No comments:

Post a Comment