Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hussin Deraman berkata, Ahmad Rafikin Azman, 16, tidak menyelesaikan acara maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Ohtman, 50, membuat laporan polis pada kira-kira 6 petang.
Azman sebelum itu memaklumkan pihak penganjur apabila dia tidak dapat menemui Ahmad Rafikin, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, yang akan diambilnya pada pukul 3 petang selepas perlumbaan itu, katanya.
Kesemua 32 peserta yang lain telah tiba ketika itu.
“Selepas menunggu beberapa lama, Azman yang juga Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), membuat laporan polis,” kata Hussin.
Difahamkan Ahmad Rafikin tidur di sebuah khemah di lokasi itu pada 31 Oktober dan meninggalkan telefon bimbitnya di rumah.
Operasi mencari dilancarkan oleh 42 anggota terdiri daripada anggota daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela serta penduduk kampung setempat. - BERNAMA