Search This Blog

Friday, November 7, 2014

Pelajar 11 tahun dibuli kerana tidak bersihkan meja


MOHAMAD FUZI


KUALA LUMPUR – Polis semalam mengesahkan klip video aksi buli membabitkan tujuh pelajar dan seorang mang­sa yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini berlaku di sebuah asrama anak yatim di Jejawi, Kangar, Perlis.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes itu merupakan kes lama yang telah dilaporkan kepada polis pada 6 Jun lalu dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Klip video ini melibatkan tujuh orang pelajar iaitu tiga pelajar tingkatan satu, dua pelajar tingkatan dua, dan dua pelajar tingkatan tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajudin yang telah memukul seorang pelajar darjah lima yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau,” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, difahamkan mangsa yang berusia 11 tahun itu dipukul kerana enggan membersihkan meja di sebuah dewan makan di asrama itu sedangkan pada hari tersebut merupakan giliran mangsa untuk berbuat demikian.
“Pihak polis tetap mengemukakan kertas siasatan kepada pendakwa raya sekalipun pihak penyelia pelajar itu menarik balik laporan mereka pada 21 Julai lalu atas tujuan menyelesaikan masalah itu secara baik selepas kumpulan pelajar senior itu meminta maaf,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Datin Asmawati Ahmad berkata, polis sudah mengenal pasti suspek utama yang memakai singlet berwarna hitam disyaki terlibat dalam kejadian kes buli yang tersebar melalui rakaman video menerusi laman-laman sosial termasuk YouTube baru-baru ini.
Menurut beliau, hasil maklumat orang ramai dan siasatan mendapati kejadian itu dikesan berlaku di sebuah sekolah di Pontian, Johor pada tahun 2010.
Kata Asmawati, suspek utama dalam kejadian itu difahamkan telah dibuang sekolah pada bulan Ogos 2011 ekoran daripada pelbagai masalah disiplin dilakukan oleh remaja terbabit.
“Polis juga berjaya mengenalpasti suspek dan mangsa yang lain terlibat dalam insiden buli berkenaan namun sehingga kini tiada laporan polis diterima daripada mangsa, keluarga atau pihak sekolah,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3IKptBiGO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment