ANGGOTA tentera menggunakan anjing pengesan mangsa di lokasi tanah runtuh di Koslanda, tengah Sri Lanka semalam.
|
COLOMBO – Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di tengah Sri Lanka perlahan ekoran keadaan berbahaya walaupun selepas harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis, kata seorang pegawai pengurusan bencana alam semalam.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 100 orang disenaraikan hilang susulan kejadian tanah runtuh di ladang teh Meeriyabedda, dekat bandar Koslanda yang terletak sekitar 190 kilometer dari timur bandar raya ini.
Bagaimanapun, anggaran bilangan mangsa yang hilang berubah dengan ketara sejak beberapa hari lalu.
“Operasi pencarian masuk hari ketiga hari ini (semalam) manakala harapan untuk menemui mangsa yang terselamat semakin tipis.
“Tiada mangsa terselamat ditemui di lokasi bencana walaupun pada hari kedua operasi menyelamat,” menurut Pusat Pengurusan Bencana Sri Lanka dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, rakan dan waris mangsa tragedi tersebut berkumpul di ladang teh Meeriyabedda untuk menyaksikan operasi menyelamat walaupun polis sebelum ini memberi amaran supaya mereka menjauhi kawasan bencana.
Sementara itu, Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse mengarahkan supaya pihak berkuasa memberikan kawasan penempatan alternatif kepada keluarga yang hilang kediaman dalam tragedi tersebut.
Arahan itu dikeluarkan ketika beliau melawat lokasi bencana kelmarin.
Tanah runtuh itu merupakan bencana paling dahsyat pernah melanda Sri Lanka sejak negara itu dilanda tsunami pada tahun 2004. – dpa
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3HllxxNDG
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment