Search This Blog

Saturday, November 1, 2014

Nyaris maut selepas bakar rumah sendiri


1 November 2014


GEORGETOWN - Seorang warga emas nyaris maut selepas dia membakar rumah yang didiaminya di Desa Selatan, Jelutong di sini pagi tadi.
   
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, lelaki berusia 60-an itu yang dipercayai mempunyai masalah mental dapat diselamatkan jirannya selepas rumahnya di tingkat tiga pangsapuri berkenaan terbakar.
   
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan mengaku membakar kediamannya dengan membakar kertas sehingga menyebabkan api merebak.
   
"Bagaimanapun tindakan pantas jiran-jirannya telah berjaya menyelamatkan lelaki itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya di sini, hari ini.
   
Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
   
Sementara itu Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak,  Muhammad Akmaluddin Said berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.35 pagi mengenai kebakaran itu.
   
"Sebaik jentera pertama tiba, kami mendapati api telah dipadamkan oleh penduduk perumahan berkenaan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment