Keadaan kereta jenis Proton Satria dinaiki mangsa yang terhumban ke dalam longkang sehingga meragut dua nyawa pagi semalam.
Keadaan kereta jenis Proton Satria dinaiki mangsa yang terhumban ke dalam longkang sehingga meragut dua nyawa pagi semalam.
RAUB - Dua rakan maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang di Kilometer 362, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu,di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu kereta, Sharul Firdaus Abdul Latif,23 dari Felda Tersang 3, Raub dan rakannya, Muhammad Norhaffis Ansari,24 dari Kampung Pulai, Batu Malim maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala rakan mereka,  Muhamad Saiful Amirul Rosli, 18, dari Kampung Gong Pak Jin, Kuala Terengganu yang berada di tempat duduk penumpang belakang cedera parah apabila patah kedua-dua belah tangan dalam kemalangan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdul Razak berkata, tiga rakan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menghala ke Raub menaiki kereta jenis Proton Satria dipandu Sharul Firdaus.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

“Pemandu dan dua lagi penumpang tersepit dalam kenderaan dinaiki bagaimanapun dua daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Abdul Rahium berkata, kejadian disaksikan pengguna jalan raya dan mereka menghubungi pihak polis dan bomba untuk tindakan lanjut termasuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mayat kedua-dua mangsa dan rakan mereka yang parah berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba yang tiba di lokasi kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.