Anggota forensik memeriksa mayat mangsa yang terperosok di bawah treler.
Anggota forensik memeriksa mayat mangsa yang terperosok di bawah treler.
SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila dia digilis sebelum diseret sebuah treler membawa muatan tong gas, sejauh kira-kira tiga meter dalam kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.50  pagi itu, mangsa A. Chinnapan, 59, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat digilis treler yang merempuh motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki mangsa.

Pegawai Bomba Kanan II,  Badrotamam Abd Rahim berkata, sebaik saja anggotanya tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, terdapat seorang lelaki yang tidak lagi bernyawa berada di bahagian bawah lori.

Menurutnya, kaki kanan mangsa parah akibat tersangkut di antara dua tayar lori berkenaan, manakala kaki kiri pula hancur dan jari tangan putus dipercayai akibat diseret.

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa terselit di bahagian bawah lori sehingga menyebabkan kakinya tersangkut. Bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Berdasarkan kesan di tempat kejadian, kita percaya mangsa diseret selepas digilis treler berkenaan.

"Sementara pembonceng yang juga merupakan isteri mangsa pula tercampak di belakang lori, selain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku sewaktu kedua-dua kenderaan yang datang dari arah Seremban  itu berada di persimpangan sebuah stesen minyak di situ.

Semasa tiba di lokasi kejadian, katanya, pemandu treler berkenaan cuba membelok ke kiri untuk menuju ke stesen minyak, bagaimanapun bergesel dengan motosikal milik mangsa.

“Mangsa dan isteri terjatuh, sebelum digilis lori treler berkenaan. Manakala pemandu lori yang berusia 37 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Isteri mangsa masih dirawat di zon merah dan masih tidak sedarkan diri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemandu treler itu ditahan untuk siasatan lanjut.