Search This Blog

Saturday, November 1, 2014

Maut dalam perjalanan ke masjid tunai solat Subuh



BEGINILAH keadaan mayat Mohd. Yusoff dan motosikal ditungganginya selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Kikir-Bahau, Jempol semalam.


JEMPOL – Niat seorang lelaki yang mahu menunaikan solat Subuh berjemaah di sebuah masjid di pekan Bahau di sini tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Batu Kikir-Bahau dekat sini semalam.
Dalam nahas pada pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang peladang, Mohd. Yusoff Mat Ali, 41, difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Peladang ke masjid berkenaan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumahnya,
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa telah melanggar belakang sebuah lori yang keluar secara mengundur daripada satu persimpangan tanpa menyedari mangsa berada di laluan sama.
“Akibat perlanggaran ini, motosikal mangsa terperosok ke bawah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Yusaini Mustapa, 32, berkata, memang menjadi rutin harian arwah sembahyang berjemaah solat Subuh di Masjid Bahau.
“Bagaimanapun, pagi ini (semalam) arwah agak lewat untuk ke sana,” katanya.
Tambahnya, Mohd. Yusoff meninggalkan seorang balu, Norsaliza Mazlan, 36, yang kini sedang mengandung empat bulan dan enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3Hlnnorhh 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment