Search This Blog

Friday, November 7, 2014

Lima pelajar didakwa buli junior



Lima pelajar didakwa di Mahkamah Juvana Kangar semalam kerana mencederakan seorang pelajar pada Jun lalu.


KANGAR – Lima pelajar lelaki sebuah asrama anak yatim di sini mengaku bersalah di Mahkamah Juvana semalam atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar asrama sama pada Mei lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan ber­kenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh berusia 13 hingga 16 tahun itu didakwa bersama-sama dalam satu kumpulan yang menyalahi undang-undang mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar asrama berkenaan yang berusia 11 tahun dengan menggunakan kekerasan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di asrama Anak Yatim Kompleks Penyayang Dr. Siti Hasmah, Jejawi antara pukul 1 petang hingga pukul 2 petang pada 31 Mei hingga 1 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Perlis, Badius Zaman Ahmad sementara kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Norhayati bagaimanapun menetapkan 24 Di­sember ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi mendengar laporan akhlak kelima-lima tertuduh oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis.
Mahkamah turut tidak membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin.
Dalam masa sama, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap kepada seorang lagi pelajar asrama berkenaan yang berusia 15 tahun setelah tidak hadir ke mahkamah semalam untuk didakwa atas pertuduhan sama.
Kosmo! semalam melaporkan satu klip video yang memaparkan seorang pelajar lelaki dipercayai menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior dan tersebar secara meluas di laman-laman sosial.
Menerusi paparan klip video berdurasi enam minit dan 52 saat itu, tujuh pelajar senior dilihat membuli seorang pelajar junior tanpa sifat belas kasihan.
Mangsa dipukul, diterajang dan disepak berkali-kali di beberapa anggota badan termasuk di muka sehingga menyebabkan mangsa mengerang kesakitan.
Bukan itu sahaja, mangsa turut diperlakukan seperti binatang di mana kakinya ditarik kemudian dihempas ke pintu almari sekolah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3IKos94bV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment