Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

Lebih 26,000 pendatang asing ditahan sehingga kelmarin

KUALA LUMPUR: Seramai 451 majikan dan 26,785 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan sejak Januari hingga kelmarin, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Beliau berkata, mereka ditahan dalam 4,893 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara.
"Operasi berkenaan akan selalu dilaksanakan secara konsisten dalam usaha membanteras kehadiran PATI," katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Undang-undang, Perintah dan Keadilan Jenayah 2014, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.
Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik dan kedudukan ekonomi negara yang baik adalah antara faktor utama kebanjiran PATI dan walaupun kehadiran mereka membawa manfaat kepada negara pada sesuatu tahap, mereka juga adalah cabaran hebat yang perlu dihadapi kerajaan.
"Ini termasuk isu PATI yang menyumbang kepada peningkatan jenayah seperti pecah rumah, jenayah seksual, pengedaran dadah, pengubahan wang haram malah pemerdagangan manusia," katanya.
Persidangan antarabangsa selama dua hari itu bertemakan "Sistem Keadilan Jenayah dalam abad ke-21: Semangat, Bentuk dan Cabaran" membabitkan hampir 90 penulis dan penulis bersama dari tujuh negara membentangkan 64 kertas kerja berkenaan perkembangan keadilan jenayah dalam sistem keadilan negara mereka.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment