Search This Blog

Saturday, November 1, 2014

Ladang teh belum selamat

Koslanda: Pihak berkuasa Sri Lanka semalam memberi amaran mengenai kemungkinan lebih banyak kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan ladang teh di sini selepas puluhan rumah musnah dilanda banjir lumpur beberapa hari lalu, menyebabkan ramai yang terbunuh.
Amaran itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kerana ramai yang tidak ada tempat hendak berlindung sementara tempat perlindungan yang disediakan kerajaan sudah terlalu sesak.
Pegawai menganggarkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam bencana Rabu lalu apabila hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di ladang Koslanda di daerah Badulla, kira-kira 220 kilometer ke timur Colombo.
Angka kematian itu masih belum disahkan tetapi ramai penduduk kampung percaya jumlah itu melebihi 200.
Kannusamy Mahendran, 34, yang rumahnya masih tegak tetapi di zon bahaya berkata, penduduk sudah berulang kali diberi amaran sejak 2002.
Bagaimanapun, menurutnya, tidak ada penempatan baru yang dicadangkan.
Sementara itu, penduduk yang kehilangan anggota keluarga dalam kejadian berkenaan menanti dengan resah ketika pekerja mencari dan menyelamat menggunakan jentera berat dan anjing penghidu mencari mayat yang tertimbus, semalam.
Pihak berkuasa berkata, tidak ada harapan untuk mencari mangsa yang masih hidup.
Namun, ramai penduduk berkata, mereka berharap sekurang-kurangnya mayat dapat ditemui untuk membolehkan mereka mengebumikan anggota keluarga masing-masing secara terhormat.
Dalam pada itu, kerajaan mengarahkan Lembaga Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dalam bencana itu.
Ramai kanak-kanak yang berlepas ke sekolah pagi Rabu lalu sebelum kejadian berlaku dan mendapati rumah dan ibu bapa mereka hilang ditimbus lumpur apabila pulang.
Sebahagiannya hanya dapat melihat bumbung rumah mereka dengan keluarga lain masih berada di dalam.
Pihak berkuasa berusaha mengesahkan jumlah kanak-kanak yang menjadi yatim piatu.
Seorang menteri memberitahu Parlimen semalam, setakat ini, mereka menemui 75 kanak-kanak berkenaan tetapi jumlah itu masih belum dapat disahkan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:21 AM


TENTERA Sri Lanka melihat operasi menyelamat di kawasan tanah runtuh di ladang teh Koslanda di daerah Badulla, 220 kilometer ke timur Colombo, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5824#sthash.pgRXbYkL.dpuf

No comments:

Post a Comment