Dari kiri, Mohd Nasir, dan Awang
Dari kiri, Mohd Nasir, dan Awang
KOTA BHARU - Seorang kontraktor mengaku tidak salah tuduhan mencuri sebuah kereta jenis Kia Serento di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Nasir Ab Rahmad, 43, didakwa mencuri kereta bernilai RM45,000 itu di hadapan sebuah rumah kedai di Jalan Sultanah Zainab, di sini, antara jam 11.30 malam, 9 Oktober lalu dan 7 pagi keesokannya.

Susulan penafian tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Majistret, Nik Habri Muhamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan didengar semula Disember depan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang buruh dipenjara sebulan dan denda RM3,500 oleh mahkamah sama kerana kesalahan memiliki pisau sepanjang 15 inci dalam sebuah kereta pada jam 3.30 pagi, 15 November lalu.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Hospital, di sini, dan tertuduh, Awang Mohd, 27, gagal memberi keterangan memuaskan terhadap kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya.

Tertuduh turut didenda kerana gagal mengemukakan kad pengenalan ketika ditahan.

Nik Habri turut menjatuhkan hukuman enam bulan dan masing-masing empat bulan penjara bagi setiap denda yang gagal dijelaskan terhadap ketiga-tiga tuduhan itu.