Pasukan penguat kuasa KPDNKK menjalankan operasi di sebuah kedai runcit di Taman Sri Subang, semalam.
Pasukan penguat kuasa KPDNKK menjalankan operasi di sebuah kedai runcit di Taman Sri Subang, semalam.
SUBANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar kegiatan penghasilan kicap tiruan yang dijual secara berleluasa di pasaran.

Kicap diisi di dalam pelbagai saiz botol itu dikesan dipasarkan secara meluas kepada kedai runcit dan pemborong tempatan dengan memalsukan jenama kicap terkenal.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan pegawai KPDNKK bertindak menyerbu beberapa premis kedai runcit di Taman Sri Subang di sini, yang dikesan menjual kicap tiruan kepada orang ramai.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi semalam, pihak KPDNKK menemui berpuluh botol kicap yang dijual dirak kedai berkenaan.

Sumber KPDNKK menjelaskan, pemeriksaan turut disertai wakil pemilik kicap itu bagi mengenal pasti sama ada kicap dijual itu dikeluarkan syarikat sah di Indonesia.

“Bagaimanapun pemeriksaan mendapati terdapat kelainan pada botol kicap dan kandungan pada kicap itu yang didapati mempunyai rasa serta kandungan berbeza

“Kelainan boleh dilihat pada penutup botol kicap yang mempunyai warna berlainan dari botol kicap asal,” katanya.

Hasil serbuan, sebanyak 61 botol kicap yang disahkan sebagai kicap palsu. Setiap botol kicap itu berharga antara RM4 hingga RM6 setiap satu.

Difahamkan KPDNKK masih menyiasat sumber kicap itu diperolehi dan pemborong yang membekalkan kicap itu.

Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.