Hilux yang dinaiki mangsa terperosok ke dalam cerun sedalam 20 meter.
Hilux yang dinaiki mangsa terperosok ke dalam cerun sedalam 20 meter.
KEMAMAN – Sepasang tunang yang dalam perjalanan menghantar kuih bernasib baik apabila mereka terselamat walaupun kenderaan yang dinaiki terhumban ke dalam cerun sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Mak Lagam-Cheneh dekat Bukit Jembalang, lewat petang semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 5.45 petang itu, kedua-dua mangsa, Sharifah Mas Anum Syed Anuar, 21, dan Wan Mohd Al-Hafiz Rifaie Wan Kamaruzaman, 28, terpaksa merangkak keluar menerusi tingkap dari pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki.

Kenderaan yang dinaiki mereka terbalik dengan empat tayar ke atas dan rosak teruk gara-gara terjunam dari kedudukan tinggi sekali gus kedua-dua mangsa juga terpaksa memanjat tebing cerun untuk naik ke tepi jalan.

Kejadian berkenaan berlaku selepas beberapa minit mangsa bergerak dari rumahnya di Kampung Batu 4 Binjai untuk menghantar kuih yang ditempah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh.

Bagaimanapun, Sharifah Mas Anum berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dan berbukit, secara tiba-tiba sebuah lagi Toyota Hilux berwarna hitam yang datang dari arah bertentangan memasuki laluan mereka.

“Hilux itu masuk jalan kami, jadi tunang cuba mengelak sebelum kenderaan kami terbabas dan meluncur ke dalam cerun.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata dan selepas keluar dari Hilux yang terbalik saya segera hubungi mak minta bantuan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Mazita Abdullah, 40, mengambil masa kira-kira sejam untuk menemui anak dan bakal menantunya.

Mazlita berkata, dia terpaksa berpusing di Jalan Mak Lagam-Cheneh itu berulang kali kerana gagal mencari tempat anaknya berada.

“Selepas sejam barulah saya temuinya, alhamdulillah kerana mereka berdua selamat dan tidak alami kecederaan walaupun keadaan kenderaan agak teruk.

“Cuma yang dikesalkan pemandu Hilux yang masuk ke laluan anak saya hingga kemalangan ini berlaku tidak membantu sebaliknya meninggalkan tempat kejadian,” katanya.