Bahagian hadapan kereta rosak akibat merempuh benteng simen di atas jambatan. |
Kejadian kira-kira jam 3.00 petang di KM 35.5 Jalan Raya Timur-Barat berlaku apabila Perodua Myvi tersebut yang dipandu terbabas sebelum merempuh pagar di jambatan tersebut.
Kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan ke Taiping.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Asisten Superintendan Mohd Zamzuri Mat Nawi berkata, kereta tersebut berpusing selepas merempuh benteng simen sebelum bahagian belakang kereta merempuh pagar jambatan.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan pagar jambatan patah dan terjatuh ke dalam tasik sehingga bahagian belakang kereta terkeluar sedikit daripada jambatan.
“Tayar belakang bahagian kiri telah melepasi jambatan tetapi tayar hadapan bahagian kiri tersangkut pada benteng jambatan menyebabkan kereta itu tersangkut,” katanya.
Beliau berkata, semua penumpang dalam kereta berkenaan bergegas keluar dari kenderaan tersebut bagi menyelamatkan diri dari terjunam ke dalam Tasik Banding.
“Kejadian berlaku ketika hujan renyai dan rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit rosak. Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kereta dipercayai dipandu dengan laju sebelum terbabas. Permukaan jalan yang licin menyebabkan kereta tidak seimbang dan terbabas.
“Tahun lalu sebuah treler turut terbabas di tengah jambatan Tasik Banding menyebabkan bahagian kepala treler melepasi jambatan tetapi bernasib baik tidak terputus daripada bahagian badan yang melintang di atas jambatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment