Nahas itu berlaku tidak lama selepas pesawat itu dilancarkan dari pesawat induk yang membawanya mengakibatkan seorang pemandu pesawat terbunuh, manakala seorang lagi pemandu cedera parah.
Pesawat itu difahamkan meletup pada ketinggian 13,716 meter akibat kerosakan teknikal.
Rakaman televisyen menunjukkan serpihan pesawat itu yang diberi nama SpaceShipTwo pecah dua dan syarikat itu menyifatkan kapal tersebut musnah.
Syerif daerah Kern, Donny Youngblood berkata, serpihan pesawat dikesan dalam lingkungan lebih 1.6 kilometer.
“Seorang pemandu pesawat terbunuh dan mayatnya ditemui di sebalik serpihan kapal itu, manakala pemandu kedua berjaya melompat keluar menggunakan payung terjun cedera parah dan ditemui lebih 1.6 kilometer dari badan kapal,'' katanya.
Kedua-dua anak kapal adalah pemandu ujian bagi syarikat Scaled Composites, anak syarikat milik Northrop Gruman Corp yang merekabentuk dan membangunkan kapal angkasa buat Virgin Galactic.
Pesawat itu dilaporkan sedang menjalani penerbangan ujian tenaga, kali pertama sejak ia diuji pada Januari lalu di Gurun Mojave, 150 kilometer dari utara Los Angeles.
Lebih 700 individu termasuk Lady Gaga, Justin Bieber dan Katy Perry telah membayar tiket berharga AS$250,000 (RM 826,775) untuk menaiki pesawat berkenaan dengan Gaga dilapor akan berlepas pada awal tahun depan termasuk akan menyanyi setibanya di orbit.
Kemalangan tu berlaku selang beberapa hari selepas sebuah syarikat angkasa persendirian, Orbital Sciences Corp kehilangan sebuah roket yang meletup tidak lama selepas ia dilancarkan di Virginia.