Search This Blog

Saturday, November 1, 2014

Jururawat AS ancam mogok



BEBERAPA kakitangan perubatan memakai sut perlindungan bagi menghindari mereka daripada menjadi mangsa jangkitan virus Ebola ketika merawat pesakit yang menghidapi wabak tersebut di Hospital Ditan, Beijing, China kelmarin.


SACRAMENTO, Amerika Syarikat (AS) – Sebuah kesatuan jururawat yang berpangkalan di negeri California mengumumkan kelmarin pihaknya akan mengadakan mogok dan berpiket bagi membantah kekurangan perlindungan untuk jururawat yang bertugas merawat pesakit Ebola.
Kesatuan itu menuntut perlindungan lebih baik diberikan kepada jururawat yang menjaga pesakit Ebola selama beberapa minggu. Sebelum ini, dua jururawat di Texas dijangkiti virus maut itu ketika merawat warga Liberia, Thomas Duncan yang jatuh sakit dan meninggal dunia semasa melawat Dallas.
“Jururawat sanggup merawat pesakit sama ada mereka menghidap demam selesema atau ­Ebola mahu pun barah. Kini, mereka diminta untuk meletakkan diri dalam bahaya tanpa perlindungan dan penjagaan,” kata Pengarah Eksekutif Kesatuan Jururawat Nasional Bersatu, Rose Ann DeMoro.
Kesatuan tersebut dan sekutunya, Persatuan Jururawat California menyatakan, mereka tidak akan bertugas di Fasiliti Kaiser Permanente, California dan Hospital Providence di Washington pada 12 November ini.
Selain mogok, kata DeMoro, jururawat lain di seluruh AS akan mengadakan bantahan dan mengadakan jualan amal bagi mengumpul dana membeli sut perlindungan untuk mereka. Sebahagian besar daripada 18,000 jururawat yang akan mogok itu berkhidmat dengan di Fasiliti Kaiser Permanente di utara dan tengah California. Kumpulan jururawat itu juga masih berunding untuk mewujudkan kontrak kerja yang baharu.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3HlmFZLCk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment