Sebahagian rumah mengalami rosak teruk akibat ribut.
Sebahagian rumah mengalami rosak teruk akibat ribut.
ALOR SETAR - Sebuah pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan mangsa ribut dalam kejadian puting beliung berskala sederhana, yang melanda beberapa kawasan di daerah Kota Setar petang kelmarin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, penempatan sementara itu dibuka di sebuah surau di Kampung Sungai Baru, iaitu di kawasan paling teruk terjejas.

“Walaupun jumlah rumah yang mengalami kerosakan mencecah 71 buah, namun hanya sebuah keluarga lima beranak dipindahkan ke surau itu kerana rumah mereka ranap teruk ditimpa pokok manakala kebanyakan mangsa menumpang sementara di rumah saudara mara,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak kelmarin merekodkan, sebanyak 71 rumah dan sebuah klinik bidan rosak dalam kejadian itu.

“Setakat 5 petang semalam, kawasan rumah paling teruk terjejas ialah di Kampung Sungai Baru, melibatkan 22 rumah dengan satu daripadanya ranap dan klinik bidan. Kawasan perumahan Taman Mergong Jaya sebanyak 25 rumah,” katanya.

Kawasan perumahan lain yang rosak direkodkan ialah, Kampung Batin, Taman Inangn, Kampung Mergong Hilir dan Kampung Parit Buaya, Alor Janggus.

“JKM segera salurkan bantuan bencana kepada mangsa ribut sejak kelmarin. Bancian akan dilakukan berterusan berdasarkan kepada aduan penduduk dari masa ke semasa,” katanya.

Kelmarin, pusaran angin berskala sederhana seakan puting beliung jelas kelihatan di beberapa kawasan dipercayai bermula dari Sungai Baru (Kuala Sungai) menghala ke Mergong (Alor Setar), sekitar 4.30 petang.