Mangsa yang dipercayai dipukul suaminya. - Foto Malaysian Crime Awareness Campaign
Mangsa yang dipercayai dipukul suaminya. - Foto Malaysian Crime Awareness Campaign
PUCHONG - Seorang penjaga pusat siber bertindak kejam mendera isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Taman Puchong Utama di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu, dipercayai beberapa kali memukul muka isterinya yang dikenali sebagai, G Kanagaletchumi, 25. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian, suspek menghantar dua anak lelakinya yang berusia enam tahun dan dua bulan ke rumah ibunya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

"Adik suspek yang berasa curiga kemudian pergi ke rumah pasangan tersebut kira-kira jam 11.30 malam, dia kemudian memecah masuk rumah itu setelah panggilannya tidak terjawab, sebelum mendapati kakak iparnya terbaring di lantai di ruang tamu dengan beberapa kesan lebam di muka dan badan," katanya.

Menurutnya, adik suspek kemudian cuba menghubungi suami mangsa yang dipercayai melarikan diri ke Kedah.

"Siasatan awal mendapati, mangsa sering bergaduh dengan suaminya. Hasil laporan bedah siasat dari Hospital Serdang memaklumkan terdapat kesan kecederaan dalaman lama dipercayai akibat dipukul," katanya.