Shazatul bersama Zulkipli sebak melihat keadaan rumah yang musnah terbakar namun bersyukur kerana tiada yang tercedera.
Shazatul bersama Zulkipli sebak melihat keadaan rumah yang musnah terbakar namun bersyukur kerana tiada yang tercedera.
KAMPUNG SEPAKAT TIMUR (Rompin) – “Rumah kami musnah terbakar, hanya satu perabot sahaja yang sempat diselamatkan”.

Begitulah reaksi mangsa kebakaran, Shazatul Iqma Mohamed, 29, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Shazatul Iqma berkata, dia bersama suami, Zulkipli Abdul Razak, 32, tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja namun bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan ahli keluarga.

“Kebetulan ibu mertua saya dari Kuching, Sarawak ada bercuti di rumah dan mujur ketika kejadian dia juga tiada di rumah kerana ke rumah emak saya yang terletak hanya di belakang rumah.

“Emak dan emak mertua saya sedar akan kebakaran rumah apabila mereka terhidu bau asap. Mereka berkejar ke rumah untuk selamatkan barang namun hanya satu perabot sempat diselamatkan kerana kebakaran merebak terlalu cepat,” katanya.

Shazatul berkata, buat sementara waktu ini mereka terpaksa menumpang di rumah emak dan masih belum merancang untuk pindah atau cari rumah sewa.

Katanya, wakil dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (Muip) Rompin dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin ada membuat tinjauan.

“Setakat ini saya anggarkan jumlah kerugian sekitar RM70,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affandy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 4.03 petang dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sepasukan anggota bomba dengan kekuatan lapan anggota yang diketuai saya sendiri tiba di lokasi kejadian jam 4.08 petang dan operasi memadam terus dilakukan.

“Kebakaran dapat dikawal sekitar jam 4.28 petang dan padam sepenuhnya jam 5.15 petang. Tiada masalah kerana terdapat pili bomba berhampiran selain menggunakan air tangki jentera,” katanya.

Shamsul berkata, anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana difahamkan tiada sesiapa berada di dalam rumah ketika kejadian.