CHENOR - Gadis lembam berusia 23 tahun di Kampung Raja dekat Bandar Lama Chenor yang  dikhuatiri hilang sejak 6 November lalu masih gagal  ditemui sehingga ke hari ini.
Operasi menjejaki dan mencari anak sulung daripada  lima beradik itu, Nordiana Budi yang memasuki hari  ke-14 dengan kerjasama pelbagai pihak masih gagal  menemui sebarang petunjuk positif.

Wakil penduduk, Tengku Hasani Tengku Ahmad  berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada laluan yang kebiasaan digunakan  gadis berkenaan termasuk di Kampung Lanting,  Seberang Chenor, Bandar Chenor sehingga ke  Kampung Awah.

Menurutnya, pencarian turut dilakukan menyusuri Sungai Pahang berdekatan kediaman gadis itu  menggunakan bot dengan bantuan penduduk  kampung.

“Dari hari pertama dilaporkan hilang, penduduk  kampung bersama anggota polis melakukan pencarian, namun sehingga kini masih belum temui sebarang petunjuk.

“Kami juga menyebarkan maklumat berkaitan  kehilangan gadis ini Pekan Sehari Chenor dan di laman sosial.

“Usaha mencari akan diteruskan dan berharap agar orang ramai yang terserempak atau mempunyai maklumat, dapat menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Bapa mangsa, Budi Dermawan, 55, berkata, keprihatinan penduduk kampung dan pihak polis amat dihargai walaupun anak gadisnya itu orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan Nordiana berada di luar kawasan Chenor memandangkan anaknya itu tidak kekok menumpang kenderaan orang lain.

“Jika dia keluar sendirian, penduduk kampung biasa akan hantar balik ke rumah. Jadi mungkin dia telah menumpang sesiapa dan tidak tahu jalan pulang,” katanya.