Anggota bomba berusaha memadam kebakaran. Gambar kecil: Keadaan ruang tamu rumah Noor Azreen
yang musnah kebakaran.
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran. Gambar kecil: Keadaan ruang tamu rumah Noor Azreen yang musnah kebakaran.
RAUB - Empat sekeluarga di Kampung Jeram Banting, Dong, dekat sini nyaris rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 1 petang kelmarin.

Seorang mangsa, Noor Azreen Musa, 24, berkata, api kebakaran dipercayai berpunca daripada dapur gas rumah mereka.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menyediakan masakan makan tengah hari untuk keluarga.

“Ketika cuba menghidupkan api, saya dapati api tidak keluar di bahagian tungku, sebaliknya keluar di bahagian paip gas.

“Memandangkan ia berada terlaku dekat dengan gas, saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keadaan, sebaliknya api terus marak,” katanya.

Ketika itu katanya, dia bersama ibu, adik lelaki dan anak saudaranya berada di rumah manakala abangnya keluar bekerja.

“Saya melulu keluar bersama ahli keluarga untuk selamatkan diri dan kami minta tolong jiran selain menghubungi bomba.

“Hampir keseluruhan dapur dan ruang tamu musnah, namun bahagian bilik sempat diselamatkan pihak bomba, mujur pakaian dan dokumen penting sempat diselamatkan,” katanya.

Noor Azreen berkata, kejadian itu turut memusnahkan segala kelengkapan rumah dan barangan elektrik sekali gus mengakibatkan kerugian kira-kira RM70,000.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Noor Azreen sekeluarga turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM2,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang disampaikan Pegawai Muip Raub, Abdul Halim Chik, semalam.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Tarmizi Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.52 petang kelmarin dan tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian.

“Lapan anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dikawal dua minit kemudian.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.