Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

Dua warga Vietnam hadapi 5 tuduhan memperdagangkan wanita

IPOH: Seorang lelaki rakyat tempatan dan seorang wanita Vietnam didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan, di sini, hari ini dengan lima pertuduhan memperdagangkan empat wanita warga Vietnam bagi tujuan seks pada Jun hingga Oktober lalu.
Tertuduh, Teoh Choo Yee, 32, yang bekerja sebagai pekerja am kilang dan warga Vietnam, Huynh Thi Kim Chi didakwa mengikut Seksyen 12, 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa bersama beberapa individu lagi yang masih bebas dengan pertuduhan memperdagangkan mangsa bagi maksud eksploitasi seksual di sebuah kediaman di Lengkok Kampar, Taman Kampar, Ipoh antara Jun hingga kira-kira jam 12 tengah hari, 29 Oktober lalu.
Tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh 2, Rushan Lutfi Mohamed, manakala dua lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh 1, Noor Hayati Mat.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Ashvinder Kaur bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Muhammad Fauzi Md Yusof.
Terdahulu, pendakwa memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana dikhuatiri tertuduh akan lari ke negara asal, manakala tertuduh warga tempatan pula akan mengganggu mangsa.
Hakim kedua-dua mahkamah kemudian memutuskan tidak memberi jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula.

No comments:

Post a Comment