Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

Dua suspek kes pecah masuk vila ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2014
KUANTAN - Dua daripada tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk dan mencuri  lapan unit alat pendingin hawa sebuah vila di Perkampungan Tok Sira di sini ditahan polis petang semalam.

Kedua-dua suspek bersama seorang rakan yang masih bebas  dipercayai memecah masuk kediaman mewah itu antara jam 8 hingga 9 pagi kelmarin sebelum mereka berjaya ditahan jam 3 petang semalam ketika berada di Jalan Teluk Sisek di sini.

Semasa cubaan menahannya, berlaku pergelutan bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja vila berusia 42 tahun berhubung kejadian.

Menurutnya, pengadu memaklumkan, dia datang ke kediaman tersebut kira-kira jam 11.30 pagi , 13 November lalu untuk memeriksa kerosakan kerana ada individu berminat untuk menyewanya dan ketika itu semuanya berada dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin , ketika  berada di Maran dia mendapat panggilan memaklumkan rumah tersebut dipecah masuk.

“Berdasarkan maklumat diterima, ada saksi ternampak sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna kelabu dinaiki tiga lelaki memasuki perkarangan kediaman kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pengadu kembali ke Kuantan semalam dan memeriksa rumah tersebut kira-kira jam 9.40 pagi mendapati pintu utama rumah terbuka manakala beberapa unit pendingin hawa hilang lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.

“Polis kini sedang mengesan rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment