Search This Blog

Friday, November 7, 2014

Dua pengawal keselamatan menangis dihukum 8 tahun penjara, 7 sebatan


DUA pengawal keselamatan yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Perbuatan dua pengawal sebuah syarikat keselamatan yang melakukan pecah amanah dengan melarikan wang tunai berjumlah RM1.8 juta daripada sebuah van ke­selamatan milik majikan mereka minggu lalu membawa padah apabila masing-masing dipenjara lapan tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Azhaniz Teh Azman The menjatuhkan hukuman itu terhadap Kassim Taysing, 35, dan Adrin Jalil, 36, selepas mahkamah menerima pengakuan salah ke­dua-dua tertuduh kelmarin.
Mengikut pertuduhan, Kassim dan Adrin bersama dua lagi rakan yang masih bebas didakwa membawa lari wang milik syarikat Safeguards G4S Sdn. Bhd. selepas melakukan tugas sebagai pemungut wang hasil kutipan jualan di tepi jalan Putra Permai 1A, berdekatan tempat letak kenderaan berhadapan Restoran Sufia II, Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang pada pukul 9.42 malam, 27 Oktober lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara setahun hingga 14 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kassim dan Adrin dalam rayuannya memohon hukuman yang rendah dikenakan ke atas mereka dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga selain anak-anak yang masih kecil.
Kedua-dua tertuduh kemudian dilihat menangis dalam kandang tertuduh sebaik sahaja Azhaniz menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tujuh sebatan ke atas mereka.
Mengikut fakta kes, anggota polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat seorang lelaki diikat dan ditinggalkan di dalam van keselamatan di Jalan Lestari 7, Seri Kembangan pada pukul 10 malam, 27 September lalu.
Kosmo! pada 29 Oktober lalu melaporkan polis menahan empat orang pengawal sebuah syarikat keselamatan bagi membantu siasatan berhubung misteri kehilangan wang juta kira-kira RM2 juta dalam van keselamatan yang mereka naiki di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Serdang.
Mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun diberkas selepas membuat laporan kehilangan van ke­selamatan tersebut pada pukul 9.30 malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3IKpN90gI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment