Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Azhaniz Teh Azman Teh selepas mahkamah menerima pengakuan salah kedua-dua tertuduh, semalam.
Kassim Taysing, 35, dan Adrin Jalil, 36, bersama dua lagi rakan mereka yang masih bebas didakwa membawa lari wang berjumlah RM1,843,242.60 milik syarikat Safeguards G4S Sdn. Bhd., selepas melakukan tugas sebagai pemungut wang hasil kutipan jualan.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Putra Permai 1A, berdekatan tempat letak kenderaan berhadapan Restoran Sufia II, Taman Equine, Seri Kembangan di sini pada pukul 9.42 malam, 27 Oktober lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, anggota polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat seorang lelaki diikat dan ditinggalkan di dalam van keselamatan di Jalan Lestari 7, Seri Kembangan pada pukul 10 malam, 27 September lalu.
Apabila tiba, polis mendapati Kassim berada di dalam van dengan tangan diikat sebelum menahan tiga lagi rakannya termasuk Adrin bagi membantu siasatan.
Siasatan kemudian mendapati Kassim dan Adrin bersama dua lagi rakan mereka yang masih bebas telah merancang untuk melarikan duit tersebut berikutan terdapat keraguan dalam hasil soal siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dengan Kassim memberi alasan dia perlu menyara keluarga sementara Adrin menyatakan dia mempunyai dua anak yang masih kecil masing-masing berusia lapan bulan dan empat tahun.