Keadaan kenderaan yang terbabas dan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang maut awal pagi semalam.
Keadaan kenderaan yang terbabas dan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang maut awal pagi semalam.
SUBANG JAYA – Dua maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki ketiga-tiganya terbabas berdekatan bulatan Kewajipan dari arah Sunway menuju ke Subang Jaya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.39 pagi, pemandu kereta jenis Audi tersebut dipercayai ingin membuat pusingan U berhampiran bulatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bagaimanapun kenderaan dipandu terbabas lalu melanggar tiang konkrit di pusingan U tersebut.

Rempuhan kuat menyebabkan kesemua penumpang termasuk di bahagian belakang tersepit dan mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta dikenali sebagai Lim Jean Hee, 31, beralamat di Jalan Petaling Utama, Petaling Jaya dan penumpang bahagian belakang, J Prabagaran, 41, dari Jalan Wawasan 5/3, Pusat Bandar Puchong.

Manakala penumpang di bahagian depan dikenali sebagai Fong Kim Woon, 28, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas ketika pemandu cuba membuat pusingan U, dua mangsa disahkan maut serta-merta di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.