Keadaan lori dan Myvi yang bertembung di Jalan Yong Peng - Parit Sulong, yang mengakibatkan dua kematian.
Keadaan lori dan Myvi yang bertembung di Jalan Yong Peng - Parit Sulong, yang mengakibatkan dua kematian.
BATU PAHAT -  Dua wanita maut di tempat kejadian setelah kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di kilometer 13, Jalan Parit Sulong – Yong Peng, semalam.

Kejadian yang berlaku kira- kira jam 12.30 tengahari itu, dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori berkenaan mengawal kenderaan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semasa kejadian berlaku,  lori yang dipandu dari arah Johor Bahru dikatakan tiba-tiba hilang kawalan ke arah kanan.

Katanya, akibat kegagalan berkenaan lori terbabit telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan dan kemudiannya mengakibatkan kematian kepada dua penumpang kereta itu.

“Kedua-dua penumpang kereta, Attikah Jaafar, 64 dan Hana Abdul Rahman, 44 yang duduk di sebelah pemandu dan di belakang maut di tempat kejadian.
"Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan di kepala akibat tersepit dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
"Mayat kedua-dua penumpang kereta berkenaan turut dihantar ke HSNI untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Din, siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan masih dijalankan selain pihak polis masih mengumpul maklumat kedua-dua mangsa yang meninggal dunia kerana ketika kejadian, tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan sekarang ini.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1941. Saksi kejadian diminta tampil bagi memberikan maklumat yang boleh membantu siasatan polis,” katanya.