Anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran rumah Abu Bakar, semalam.
Anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran rumah Abu Bakar, semalam.
BERA - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Belengu,  Abu Bakar Yaakob, 72 mengalami kerugian RM150,000 apabila rumahnya musnah dalam satu kebakaran pagi semalam.

Semasa kejadian kira-kira jam 11.00 pagi itu, beliau dan isteri, Habsah Simin berada di Pejabat Daerah dan Tanah Bera atas urusan berkaitan.

Menurut Abu Bakar, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas jirannya menghubunginya dan memaklumkan perkara tersebut, dan bergegas balik ke pulang.

“Tetapi, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Api marak dan cepat merebak menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang pun.

“Buat masa ini, saya mungkin akan menumpang di rumah anak saya di Paya Luas, Temerloh atau di rumah arwah ibu dekat sekitar sini untuk memudahkan pengurusan hal ehwal penduduk,” katanya.

Abu Bakar berkata, tekanan air yang terlalu rendah turut menyebabkan pihak bomba mengambil masa untuk memadamkan api apabila anggota bomba terlibat terpaksa mengambil sumber air di kawasan berdekatan.

Sementara itu, anaknya, Faizah Abu Bakar, 41 memberitahu, walaupun terkejut dengan apa yang berlaku namun bersyukur kedua ibu bapanya selamat.

“Ayah masih lagi tergamam dengan keadaan ini. Lagipun, semua dokumen-dokumen, duit tunai dan barang-barang habis terbakar. Satu pun tidak sempat diselamatkan.

“Setakat ini, kami masih belum tahu punca kebakaran tetapi dipercayai api marak dari arah dapur,” katanya.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Triang, Penolong Penguasa Bomba, Jalaludin Abdul Mubin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.03 pagi, dan mengambil masa lebih kurang 23 minit untuk tiba di lokasi kejadian.

“Pada masa kejadian, rumah tiada penghuni, dan rumah sudah terbakar hampir 80 peratus pada ketika itu.

“Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit, dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 12.47 tengahari,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.