Aminatun menunjukkan pintu besi rumahnya yang diumpil
Aminatun menunjukkan pintu besi rumahnya yang diumpil
SEREMBAN – Penjenayah yang menyamun sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Senawang di sini, sempat makan buah limau di dapur rumah mangsa sebelum melarikan Proton Persona milik mangsa dalam kejadian kelmarin.

Malah kejadian terbabit berlaku ketika semua penghuni sedang tidur di tingkat dua rumah berkenaan dan langsung tidak menyedari kehadiran suspek.

Aminatun Daud, 29, berkata, kejadian itu hanya disedari oleh suaminya sekitar jam 7.30 pagi apabila mendapati kereta diletakkan di dalam garaj rumahnya hilang.

“Ketika itu suami saya mahu pergi kerja dan jadi rutinnya setiap pagi menyelak langsir pintu gelongsor, tapi terkejut apabila pintu renggang sedikit dan sebuah kereta kami tiada di dalam garaj.

“Masa itu baru dia perasan rumah dimasuki penjenayah sebab kedua-dua pintu pagar terbuka manakala  terdapat kesan umpilan pada pintu besi walaupun masih dikunci dengan mangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Aminatun berkata, kotak kunci rumahnya juga dibiarkan bersepah oleh suspek di bahagian garaj menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu.

Menurutnya, dia kemudian mendapati terdapat kulit dan buah limau ditinggalkan di garaj rumahnya dipercayai dimakan oleh suspek yang mengambilnya dari dapur sebelum melarikan diri.

“Kami periksa di bahagian bawah rumah, tiada barang yang hilang. Cuma beg yang diletakkan di atas kerusi seperti digeledah, mungkin mereka ingat ada duit dalamnya,” katanya yang berpindah di situ sejak Mei lalu.

Sementara itu Aminatun yang hanya menunggu masa bersalin anak ketiga berkata, pada malam kejadian dia bersama suami serta dua lagi anaknya tidur di tingkat atas, manakala dua adik termasuk ibunya tidur di bilik lain.

Katanya, kedua-dua adiknya hanya tidur kira-kira jam 4 pagi, namun mereka langsung tidak menyedari rumah dimasuki penjenayah.

“Walaupun kereta hilang, tapi saya bersyukur kerana ketika kejadian penjenayah itu tidak naik ke tingkat atas mengancam keselamatan kami.

“Tapi, saya juga risau sebab  ada kenalan kawan saya beritahu dia ternampak kereta saya digunakan suspek untuk merompak rumah orang lain di Ijok, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 bagi kesalahan pecah rumah dan Seksyen 379A bagi kesalahan mencuri kenderaan.