Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

Dah samun, bakar pula...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Sekumpulan lima lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dan melarikan wang tunai serta barang kemas, bertindak kejam apabila sengaja membakar sebahagian bilik tidur mangsa sehingga hampir meragut nyawa tiga sekeluarga di Taman Serai Indah di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi, mangsa, A Rohini, 60, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama cucu lelakinya berusia lima tahun tidur di bahagian ruang tamu, manakala suaminya tidur di bilik tidur utama kediaman mereka yang terletak hanya bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.
Menurutnya, secara tiba-tiba dia terjaga selepas terdengar bunyi sesuatu yang pelik di bahagian siling rumahnya lalu ternampak kelibat seorang lelaki bertubuh tinggi dan memakai penutup muka sedang turun dari siling sambil memegang sebilah parang.
“Saya kemudian berpura-pura tidur dan dapat merasakan lelaki itu cuba memastikan saya, cucu serta suami yang sedang tidur tidak menyedari kehadirannya.
“Beberapa minit kemudian, saya dapat melihatnya berjalan ke arah dapur dan membuka pintu dapur menggunakan kunci rumah yang ditinggalkan di tepi pintu lalu melihat kelibat empat lagi lelaki bertopeng menutup keseluruhan wajah dan bersenjata memasuki rumah,” katanya.
Rohini berkata, suspek menggeledah keseluruhan bilik sebelum membawa lari sebuah televisyen, dua telefon pintar, barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 dan wang tunai sebanyak RM10,000.
“Ketika itu, saya berasa sangat bimbang akan keselamatan kami dan berdoa agar mereka tidak mengapa-apakan kami.
“Sejurus melihat kelima-lima lelaki itu hendak beredar dari rumah, saya merasa ia sudah berakhir, namun tidak menjangka apabila salah seorang daripada mereka bertindak membakar bilik tidur kedua sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang melihat api marak dari bilik tidur kedua berkenaan segera mengejutkan suami dan cucu untuk keluar dari rumah menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada jiran mereka.
Sementara itu, seorang jiran enggan dikenali berkata, dia segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dan polis sejurus dimaklumkan oleh mangsa mengenai kejadian itu.
Menurutnya, bomba yang hadir mengambil masa hanya sepuluh minit untuk memadamkan api kebakaran di bilik tidur kedua rumah mangsa.
“Saya tidak pernah menyangka rumah Rohini akan dibakar oleh suspek kerana tiada laporan kes kecurian berlaku di taman ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:12 AM


ROHINI (kiri) bersama anaknya melihat bilik yang dibakar penyamun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9844#sthash.FWtUrmDd.dpuf

No comments:

Post a Comment