Search This Blog

Friday, November 7, 2014

Buat tuntutan palsu RM3.9 juta


ANGGOTA polis mengiringi Syed Hamid (kiri) yang didakwa atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus kewangan di sebuah syarikat penghantaran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan mengemukakan tuntu­tan palsu berjumlah RM3.82 juta berhubung bayaran duti kastam kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), 10 tahun lalu.
Tertuduh, Marzulhisham Zulkifli, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibi­carakan selepas kesemua tuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Marzulhisham didakwa memberikan invois yang mempunyai butiran palsu kepada Eksekutif Logistik TNB, Al-Mohafan Mohamed iaitu tuntutan amaun duti kastam sebanyak RM526,017, RM728,302.68, RM831,117.09 dan RM1,736,652.97 dengan tujuan mengelirukan sedangkan bayaran tersebut adalah dikecualikan.
Kesemua perbuatan itu dilakukannya di tingkat 4, Bahagian Penjanaan TNB, 129 Jalan Bangsar di sini antara Januari hingga Julai 2004.
Sementara itu di mahkamah berasingan, bekas ketua bahagian pengurusan perkhidmatan sebuah syarikat minyak didakwa atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM98,000 kepada sebuah syarikat swasta bagi penganjuran program kursus kepimpinan, dua tahun lalu.
Tertuduh, Syed Hamid Khalid Rashid, 40, bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanim Arifin.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Syed Hamid didakwa memperdayakan prinsipal berkaitan dokumen tuntutan invois palsu berjumlah RM30,000, RM26,000 dan RM42,000 untuk penganjuran program kursus kepimpinan Managing Flow-Tema Dynamics di sebuah syarikat swasta.
MARZULHISHAM (kanan) didakwa atas empat pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


Perbuatan itu dilakukannya di pejabat iPerintis Sdn. Bhd. dan pejabat Petronas ICT Sdn. Bhd.tingkat 18, Menara Perak, No. 24 Jalan Perak di sini antara Di­sember 2012 hingga September 2013.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana jumlah lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Afifah Yusof manakala Marzulhisham diwakili peguam bela, Kamarudin Abdullah dan Syed Hamid diwakili M. Mahentra.
Afifah mencadangkan wang jaminan kedua-dua tertuduh ditetapkan RM15,000 untuk setiap pertuduhan selain diminta menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing sebagai syarat jaminan.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam masing-masing memohon agar wang jaminan dikurangkan atas alasan mempu­nyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan Marzulhisham diikat jamin sebanyak RM40,000 manakala Syed Hamid seba­nyak RM30,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta perlu menye­rahkan pasport mereka kepada mahkamah.
Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. Kes melibatkan Marzulhisham disebut semula pada 8 Disember manakala kes Syed Hamid di­sebut semula pada 11 Disember depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3IKpF7svv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment