Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

Bomba Pahang pantau keadaan banjir

Oleh Khairulmizan Yahya
Kuantan: Hujan berlarutan sejak pagi tadi menyebabkan Persimpangan Jalan Indera Mahkota/Jalan Pintasan Kuantan - Pelabuhan, dekat Kolej Universiti Shahputra (UCSA), di sini, dilimpahi air sedalam kira-kira satu meter.
Tinjauan ke lokasi berkenaan mendapati laluan terbabit terpaksa ditutup bagi kenderaan buat sementara waktu selain terdapat kon serta papan tanda diletakkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi menghalang orang ramai melalui jalan berkenaan.
Kejadian itu bukan saja menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan berkenaan malah turut meresahkan beberapa penduduk di sekitar kawasan terbabit yang khuatir rumah mereka ditenggelami air tahun lalu akan berulang.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Morni Mamat berkata, pihaknya melakukan tinjauan di sekitar bandar Kuantan serta sepanjang kawasan menghala ke Cherating, di sini, sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya sendiri mengikuti tinjauan berkenaan dan mendapati setakat ini tiada lagi kawasan yang dilanda banjir di bandar ini dan situasi sebenar bukanlah seperti yang disebarkan oleh orang awam di laman sosial.
"Balai bomba di daerah lain seluruh negeri juga tidak menerima sebarang laporan kejadian banjir manakala paras sungai-sungai utama di Pahang berada di paras normal," katanya.
Morni berkata, JBPM Pahang menggunakan pendekatan proaktif untuk melakukan rondaan di kawasan berisiko banjir setiap kali hujan bagi memastikan tindak balas pantas mampu diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian banjir.
"Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat kepada kami boleh menghubungi pusat gerakan operasi banjir JBPM Pahang di talian 09-5136624," katanya.
Selain itu, maklumat daripada laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menyatakan sehingga jam 4 petang tadi kebanyakan sungai di seluruh negeri ini masih di tahap normal termasuk Sungai Kuantan, Sungai Pahang dan Sungai Rompin.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:56 PM


JALAN susur ke Indera Mahkota di Jalan Pintasan Kuantan Pelabuhan dinaiki air. FOTO Halim Mat Ali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9911#sthash.m1Mn4YMc.dpuf

No comments:

Post a Comment