Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

Bekas polis tak mengaku zalimi tenggiling

Alor Setar: Seorang bekas anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap empat pertuduhan menyimpan dan menzalimi 43 tenggiling hidup di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Norazzuan Ahmad Zahari, 26, membuat pengakuan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Indra Nehru Savandiah.
Muhammad Norazzuan yang pernah dituduh atas kesalahan sama Januari tahun lalu didakwa menyimpan lapan tenggiling jantan mengikut Seksyen 68(1)(A) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 selain Seksyen 69(1) akta sama kerana menyimpan 12 tenggiling tidak matang.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 70(1) akta sama kerana menyimpan 23 tenggiling betina yang semuanya ditemui di bahagian but kereta Perodua Kenari yang digunakannya.
Manakala, bagi pertuduhan keempat, Muhammad Norazuan didakwa mengikut Seksyen 86(1)(C)(F) akta sama kerana dengan sengaja menzalimi 43 tenggiling berkenaan dengan mengikat serta tidak memberi makan dan minum sehingga mendatangkan ketidakselesaan dan penderitaan kepada haiwan berkenaan yang dilindungi.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam, di sini, jam 5.15 petang pada 10 November lalu.
Tenggiling adalah sejenis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan negeri, Mohamad Refaee Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi tertuduh melantik peguam.
Sebelum ini di mahkamah sama pada Januari tahun lalu, Muhammad Norazzuan dihukum penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan pindaan kerana menzalimi dan menyimpan 18 tenggiling di Check Point C Bukit Kayu Hitam pada 22 September 2012.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:14 AM


NORAZZUAN diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9853#sthash.6eMXRUS9.dpuf

No comments:

Post a Comment