Search This Blog

Saturday, November 22, 2014

Banjir di 3 daerah di Terengganu masih belum surut

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu sehingga malam ini mulai menunjukkan trend penurunan di mana seramai 3,819 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 5,572 orang petang tadi.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, sehingga 9 malam tadi hanya tiga daerah masih terjejas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Setiu sejak banjir lima hari lalu.
Ketika ini seramai 938 keluarga masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan.
Jumlah mangsa di Kuala Terengganu kini turun sedikit daripada 3,927 orang (927 keluarga) kepada 3,015 orang (740 keluarga) di 12 pusat penempatan.
Di Marang, jumlah mangsa kini seramai 716 orang (178 keluarga) yang ditempatkan di tiga pusat manakala di Setiu seramai 88 orang (20 keluarga) di dua pusat iaitu Surau Kampung Nyatoh dan Surau Pengkalan Gelap.
Pusat pemindahan di Besut dan Dungun telah ditutup petang tadi ekoran air mulai surut dan cuaca yang kian baik.
Orang ramai yang ingin mengetahui keadaan terkini banjir boleh menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau laman web etindakan.terengganu.gov.my. - BERNAMA
PELAJAR Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Haslina Zainal Abidin, 22, (tengah) dan Nur Syafika Abdul Aziz, 21, (kanan) menjemur buku, tilam dan barangan keperluan lain selepas rumah sewa mereka ditenggelami banjir di Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

No comments:

Post a Comment