Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

Balak haram bernilai RM5.5 juta dirampas dalam operasi di Sarawak



KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (tengah) bersama Pengarah Perhutanan Sarawak, Sapuan Ahmad (kanan) dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan ketika mengadakan sidang media di Kompleks DUN Sarawak, di sini petang tadi. - Foto Che Rani Che Din
PETRA JAYA: Sebanyak 22,306 balak haram bernilai RM5.5 juta dirampas dalam operasi khas di Miri dan Bimtulu yang dilancarkan Jabatan Hutan Sarawak sepanjang dua minggu lalu.
  Pengarah Perhutanan Sarawak, Sapuan Ahmad, berkata turut dirampas dua jentera yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pembalakan haram itu.
  Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan yang turut disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  "Operasi ini dilakukan sebagai kesinambungan kejayaan Ops Khazanah Rimba yang dilaksanakan di Sibu, Oktober lalu.
  "Sebanyak tiga helikopter digunakan sepanjang operasi itu yang menyasarkan kawasan hutan di Bintulu dan Miri," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini petang tadi.
  Sapuan berkata, pihaknya turut menggunakan teknologi terkini yang dibangunkan Jabatan Hutan Sarawak yang dikenali sebagai 'Hyperspectral Sensing Applications' bagi melaksanakan operasi berkenaan.
  "Kami turut menggunakan maklumat penduduk tempatan yang tinggal berdekatan untuk mengenalpasti lokasi pembalakan haram itu," katanya.
  Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata beliau berpuashati dengan pelaksanaan operasi oleh Jabatan Hutan Sarawak bersama agensi penguat kuasa lain itu.
  Bagaimanapun, katanya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengekang aktiviti pembalakan haram, sekali gus membanteras gejala rasuah dalam sektor pembalakan di negeri ini.
  "Kejayaan operasi ini cukup memuaskan, namun banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk kita membanteras aktiviti haram ini," katanya yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak.

No comments:

Post a Comment