Rohini (kiri) dan anaknya meneliti keadaan bilik tidur kedua rumahnya yang dibakar pencuri.
Rohini (kiri) dan anaknya meneliti keadaan bilik tidur kedua rumahnya yang dibakar pencuri.
BAGAN SERAI -  Kejam. Itulah ungkapan sesuai dilabelkan terhadap sekumpulan pencuri  mencetuskan kebakaran di rumah yang dipecah masuk dan hampir meragut nyawa tiga penghuni dalam kejadian di Taman Serai Indah, di sini awal pagi semalam.

Mangsa, A Rohini, 60, berkata, dalam kejadian jam 4 pagi, dia tidur bersama cucu berusia lima tahun di ruang tamu sebelum terjaga akibat terdengar bunyi aneh di bahagian siling rumah.

Menurutnya, apabila memandang siling itu, dia terkejut melihat kelibat seorang lelaki dan memakai penutup muka turun dari siling sambil memegang sebilah parang.

“Tergamam melihat kelibat itu, saya berpura-pura tidur dan dapat merasakan suspek cuba memastikan saya, cucu serta suami yang tidur di bilik tidur utama tidak menyedari kehadirannya.

“Beberapa minit kemudian, secara curi-curi saya lihat  suspek menuju ke arah dapur dan membuka pintu menggunakan kunci yang berada di tepi pintu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Rohini berkata, sebaik pintu dibuka, empat lagi suspek yang turut menutup muka dan bersenjata memasuki rumahnya.

Jelasnya, tiga daripada lima suspek kemudian masuk ke bilik sembahyang terletak bersebelahan dapur dan mencuri tabung yang disimpan di situ.

"Manakala dua lagi memasuki bilik tidur utama dan kedua, mereka mencuri wang tunai RM10,000 serta barang kemas bernilai RM20,000.

"Kumpulan itu turut mengambil sebuah televisyen dan dua telefon pintar," katanya.

Rohini berkata, apabila kesemua suspek keluar dari rumah dia berasa lega namun, tidak menyangka salah seorang suspek berpatah balik dan mencetuskan kebakaran dalam bilik tidur kedua.

Menurutnya, sebaik melihat api dalam bilik itu, dia  segera mengejutkan suami dan cucu untuk keluar dari rumah.

“Kami semua sempat keluar dari rumah dan saya segera ke rumah jiran untuk minta tolong,” katanya.

Seorang jiran enggan dikenali berkata, dia kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bagan Serai dan polis.

“Saya tidak menyangka rumah Rohini akan dibakar oleh pencuri kerana tiada laporan kes kecurian berlaku di taman ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyatakan  berdasarkan siasatan, kebakaran dipercayai dicetuskan suspek bertujuan untuk mengalih perhatian mangsa.