Ini kerana, ujar peguam Ramkarpal Singh, kes liwat tersebut penuh dengan keraguan dan kebetulan yang tidak masuk akal.
Beliau turut mendakwa, adalah mustahil untuk Anwar melakukan perlakuan seksual itu ekoran kecederaan yang dialami pada tulang belakangnya sebagaimana yang dinyatakan oleh doktor yang merawat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Dr. Thomas Hoogland.
Menurutnya, tidak pernah dinafikan bahawa Mohd. Saiful Bukhari bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri) dan bekas pegawai khasnya, Khairil Anas Yusof beberapa hari sebelum laporan polis mengenai kejadian liwat itu dibuat.
Perkara tersebut sekali gus mampu menimbulkan perbagai persoalan.
Selain itu, Ramkarpal menyatakan, bukti saintifik dalam kes ini tidak boleh dipercayai dan sepatutnya diketepikan di akhir kes pendakwaan.
Ini kerana, adalah tidak logik, sejumlah sampel yang diambil daripada sumber dan hari yang sama mempunyai kesan degradasi yang berlainan.
“Ini menimbulkan keraguan adakah kesemua sampel yang dianalisis diambil daripada tubuh Mohd. Saiful Bukhari,” katanya.
Peguam terbabit turut mengungkit mengenai kredibiliti bekas pegawai penyiasat, Supritendan Jude Blacious Pereira yang disifatkan ‘bukan malaikat’.
Ujarnya, pihak pendakwaan sebelum ini berhujah bahawa pihaknya seharusnya menyoal balas saksi pendakwaan ke-25 (PW25) itu sekiranya benar terdapat keraguan bahawa saksi itu telah mengganggu bukti.
“Tetapi kami tidak boleh berbuat demikian kerana kami tidak tahu dengan pasti sama ada PW25 bertanggungjawab mengganggu bukti atau orang lain.
“Apa yang kami tahu terdapat kemungkinan bahawa bahan-bahan bukti itu telah dikacau ganggu,” katanya.
Beliau dalam hujah semula turut bersetuju dengan hujah Muhammad Shafee bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) masih boleh diperoleh walaupun berjuta tahun lamanya.
“Namun, bukannya daripada dubur seekor dinasour,” hujahnya yang disambut dengan gelak ketawa daripada mereka yang mengikuti prosiding tersebut.
Ramkarpal turut menyatakan, pihak pendakwaan seharusnya memadamkan segala kekeliruan yang timbul mengenai Alel 18 yang dikatakan berpunca daripada DNA pihak ketiga.
Memberikan contoh kes membabitkan bekas setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock, Ramkarpal menyatakan, pihak yang terlibat dalam kes itu merungkai penemuan DNA pihak ketiga yang ditemui pada bahagian belakang tali pinggang mendiang.
“DNA yang ditemui itu disahkan milik mayat yang telah dibedah siasat sebelum mendiang Beng Hock diletakkan di atas meja bedah yang sama. Ini menjadikan pencemaran DNA itu sebagai sesuatu yang tidak disengajakan. Namun, dalam kes ini, kita tidak boleh membuat rumusan sedemikian,” katanya.
Ramkarpal kembali mempersoalkan kredibiliti Mohd. Saiful Bukhari dan menekankan bahawa tidak berlakunya sebarang penetrasi.
Jelasnya, penetrasi perlu dibuktikan dengan konklusif dan tidak hanya mengatakan berlakunya penetrasi kerana terdapatnya air mani di dalam dubur.
Beliau juga memohon agar mahkamah tidak mengambil kira kenyataan Mohd. Saiful Bukhari mengenai ‘hubungan intim’ yang dikatakan berlaku sebelum kejadian liwat dalam mencari jawapan terhadap persoalan kenapa tiada kecederaan pada dubur mangsa kerana hujah itu tidak disokong dengan bukti perubatan.