Mohd Fadzir (kiri) dan Mohd Hamzah menunjukkan peralatan set karaoke yang dirampas pada sidang media di IPD Tanah Merah, semalam.
Mohd Fadzir (kiri) dan Mohd Hamzah menunjukkan peralatan set karaoke yang dirampas pada sidang media di IPD Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH - Kegiatan seorang anggota polis menjalankan aktiviti karaoke haram di sebuah kedai makan dalam ladang kelapa sawit di Felda Kemahang 2, dekat sini, terbongkar apabila diserbu polis, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.45 tengah malam, anggota polis berusia 57 tahun dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Narkotik daerah, Asisten Superintendan Mohd Hamzah Abdullah itu turut menahan seorang pelanggan berusia 29 tahun kerana dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Bahagian Pengurusan IPD Tanah Merah, Asistan Superintendan Mohd Fadzir Manap berkata, anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Mahkamah Syariah Kota Bharu itu disiasat di bawah Seksyen 6, Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998.

Katanya, dalam serbuan dibantu anggota penguat kuasa Pejabat Agama Jajahan dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) itu, polis turut merampas pelbagai peralatan set karaoke di premis berkenaan.

“Ketika serbuan, terdapat seramai 76 pelanggan iaitu 56 lelaki dan 20 wanita di kedai makan yang terletak kira-kira 15 meter dari jalan utama itu.

“Seramai 21 pelanggan lelaki serta 10 pelanggan wanita diperiksa dan hasil ujian saringan awal, seorang pelanggan didapati positif dadah,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Fadzir, siasatan awal mendapati kedai makan itu sudah lama beroperasi, iaitu sebelum suspek mula aktif menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen sejak tiga minggu lalu.

“Siasatan juga mendapati kebanyakan pelanggan pusat karaoke di premis yang dikendalikan anggota polis berasal dari Batu 11, Tanah Merah ini adalah mereka berusia 40-an ke atas,” katanya.

Mengenai kes positif dadah pula, beliau memberitahu, suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Fadzir berkata, anggota polis terbabit dan seramai 14 wanita turut disiasat Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 285 Negeri Kelantan kerana berkelakuan tidak sopan.