Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, Ketua Majlis Pertimbangan Parti Amanat Nasional (PAN) itu dilaporkan sedang tidur di rumahnya.
Kereta MPV Harrier miliknya yang diletakkan di perkarangan rumahnya mengalami kerosakan.
Menurut Ketua Polis Indonesia, Sutarman, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci termasuk menghantar pasukan forensik untuk mengenal pasti motif kejadian itu.
Amien yang merupakan bekas Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia berkata, aksi keganasan bukanlah perkara asing bagi beliau sepanjang bergiat dalam politik.
Menurutnya, sudah banyak kes keganasan yang menimpanya bermula dengan keganasan fizikal sehinggalah pengiriman bungkusan misteri dan aneh ke rumahnya.
Selain keganasan terbaharu di kediamannya di Yogyakarta itu, pemimpin itu juga sering menerima panggilan telefon misteri dan pengiriman benda-benda aneh untuk menakutkan beliau.
“Rumah saya di Jakarta sudah beberapa kali mendapatkan kiriman berupa kuali berisi air dan di dalamnya ada telur angsa besar, jarum, dan bunga-bunga. Mungkin agar ditafsirkan sebagai misteri tapi saya tidak takut kerana saya orang beriman,” ujar Amien kepada wartawan.
Beliau berkata, selama 30 tahun menetap di rumah peribadinya di Kompleks Pandean Sari Blok II/5 Condong Catur, Depok, Sleman, Yogyakarta, sudah tiga kali aksi keganasan dialaminya.
Kejadian pertama dan kedua terjadi ketika bermula aksi reformasi sehinggakan rumahnya dilemparkan batu.
Terbaharu merupakan kejadian yang berlaku awal pagi ini.
Bagaimanapun, Amien dan keluarganya tidak pernah meminta bantuan polis memberi kawalan keselamatan yang khusus, sebaliknya meneruskan kehidupan sehariannya seperti biasa.
“Saya tetap akan makan tiga kali sehari, solat lima kali sehari dan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis,” katanya.
Sutarman berkata, polis akan menemubual saksi-saksi yang berada di tempat kejadian.
“Kita akan teliti apakan bentuk keganasan,” kata beliau kepada wartawan, di sini hari ini. – UTUSAN