Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

3 daerah di Terengganu terjejas banjir, bilik gerakan bencana negeri dibuka

ZAIDI Musa, 57, bersama anaknya, Muhammad Nazreen Zaidi, 17 (tengah) dan Muhammad Aiman Zakuan Zaidi, 11 mencedok air keluar selepas kediaman mereka di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung, Kuala Terengganu dilanda banjir, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Bilik gerakan bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu telah dibuka pada jam 5.30 petang tadi berikutan tiga daerah di negeri itu sudah mula terjejas akibat banjir hari ini.
Pemangku Setiausaha MKN negeri, Roslina Ngah, berkata bilik gerakan berkenaan akan beroperasi selama 24 jam untuk memantau semua operasi banjir di kawasan terbabit.
Beliau berkata, sehingga jam 6 petang tadi, Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus telah mengalami banjir dengan 67 mangsa telah dipindahkan manakala yang beberapa lagi kawasan rendah di Setiu turut terjejas.
Mangsa-mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu 38 orang di Sekolah Kebangsaan Cendering di sini dan 29 orang di Pusat Sivik Gong Badak, Kuala Nerus.
Sementara itu, beberapa jalan utama ditutup kepada kenderaan ringan petang ini selepas dinaiki air sedalam antara 0.3 hingga 0.5 meter.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, antara jalan terbabit ialah Jalan Chalok-Kampung Bukit Putera di Setiu, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Seksyen 425 dekat Kampung Bandar Kerteh Kemaman dan Jalan Kubang Tangga Kuala Terengganu Seksyen 0.5.
Bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan banjir boleh menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau laman web etindakan.terengganu.gov.my.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment